BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, August 4, 2009

Blues Untuk Aku...


Salam alaik..

Entah kenapa, hari ni fikiran aku melayang terkenangkan watak Sahak dalam sebuah kisah legenda Melayu “Blues Untuk Aku”.Aku tak pasti di mana persamaan situasi aku dengan watak Sahak tapi aku berasa cukup dekat dengan watak itu.Sejak dulu, pertama kali aku berkenalan dengan watak itu, aku terasa semacam ada satu chemistry antara watak dia dan hidup aku.Mungkin secara kebetulan tapi aku percaya ada hikmah di sebalik semua itu.Satu perkara yang mungkin boleh ditonjolkan ialah situasi Sahak yang sukar bertemu dengan teman hidupnya.Setiap kali berdepan dengan wanita, dia merasa cukup bersederhana dan merendah diri.Situasi itulah yang berlaku kepada aku ketika ini.Cukup sukar untuk aku bertemu dengan insan yang akan menjadi teman hidupku.Bukan tak mencuba untuk mencari tapi mungkin belum bertemu dengan jodoh yang ditakdirkan.Aku sentiasa redha dengan apa yang terjadi dan tak pernah sesekali menyalahkan takdir.Mungkin ada hikmah yang tersembunyi.

Satu lagi persamaan kami ialah kami hanya ada seorang ibu yang menjadi penyejuk di mata dan penawar di hati.Banyak kata-kata nasihat yang boleh didapati daripada kisah tersebut.Aku cukup pasti bahawa penulis kisah “Blues Untuk Aku” ini juga adalah seorang yang berasal dari kampong.Kisahnya cukup menyentuh hati dan sesuai untuk lelaki-lelaki bujang macam aku.Ia memaparkan realiti kehidupan di Bandaraya Kuala Lumpur yang penuh dengan onak dan liku.Setiap cabaran yang mendatang berjaya diharungi dengan baik melalui gabungan elemen seperti persahabatan, kejujuran, kasih sayang, tolak ansur dan kerjasama.Aku cukup terkesan dengan jalan cerita kisah tersebut sehinggakan kadang-kadang aku jadikan watak dia sebagai idola aku di ketika itu.Mana tidaknya, walaupun dihimpit dengan dunia kotaraya yang penuh hasad dengki, kemaksiatan, kemungkaran dan kegelapan namun Sahak masih menjaga tatasusila dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.Sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan insan biasa.Sahak juga tidak pernah lupa akan tanggungjawab kepada ibu dan keluarganya malah sentiasa mengingati pesanan-pesanan arwah ayahnya yang telah meninggal dunia.

Berbalik kepada kehidupan aku sekarang ini, aku sedang cuba sedaya upaya aku untuk bertahan dengan segenap cabaran dan dugaan yang menimpa aku.Aku pasrah dengan semua yang menimpa aku.Baik dari segi pelajaran, keluarga, kehidupan dan persahabatan.Semuanya mempunyai liku dan dugaan yang tersendiri.Semoga aku akan menjadi setabah Sahak dalam meneruskan kehidupan di samping berbakti kepada ibu tercinta..

0 comments: