BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 20, 2009

Laskar Pelangi vs Ketika Cinta Bertasbih



Salam alaik..

Hati aku menjadi tenang dan terharu tatkala berpeluang menonton dua buah filem mega Indonesia yang berkualiti dan telah lama aku nantikan saat untuk menontonnya di laman Youtube. Memang menyentuh perasaan apabila menghayati jalan cerita kedua-dua buah filem berkenaan yang amat menarik untuk dijadikan tauladan manakala yang buruk dijadikan sempadan. Dapat aku gambarkan bahawa kedua-dua cerita ini amat menepati kehendak dan keperluan masyarakat Islam yang sebenar dalam menjalani kehidupan seharian. Filem ini menekankan aspek kerohanian dan kemanusiaan yang penting untuk diteliti dan dihayati oleh masyarakat seluruhnya.

Filem Laskar Pelangi betul-betul menggamit semula ingatan aku kepada zaman kecil di waktu persekolahan dan saat-saat bermain bersama kawan-kawan di kampung dan di sekolah. Latar filem ini adalah sebuah kampung pedalaman zaman 70'an di Indonesia. Sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menuntut ilmu di sebuah sekolah yang hampir ditutup kerana tidak mempunyai murid yang mencukupi. Mereka dibimbing dan dididik oleh beberapa orang guru yang sangat tabah dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu. Sekumpulan kanak-kanak yang digelar 'Laskar Pelangi' atau 'Askar Pelangi' ini mempunyai impian yang tersendiri namun hanya yang kuat berusaha dan bersabar bakal menuju kejayaan. Ilmu juga dititikberatkan dalam penyampaian cerita iaitu hanya ilmu yang dapat mengubah hidup seseorang agar menjadi lebih baik. Suka dan duka zaman persekolahan dihadapi bersama dengan ukhuwwah persahabatan yang jitu dan kuat. Ada beberapa adegan yang menarik dan mengimbau zaman kanak-kanak dahulu sehinggakan membuat aku tersenyum sendirian apabila menontonnya. Sungguh menyegarkan dan dekat di hati. Aku ada semadikan sebuah lagu latar filem ini iaitu 'Terima Kasih Guruku' dalam blog ini.

Filem Ketika Cinta Bertasbih merupakan filem yang amat aku nanti-nantikan sejak sekian lama. Bukan sahaja kerana aku sudah membaca novel karangan Habiburrahman El-Shirazy tetapi juga setelah aku menonton trailer filem ini di Youtube. Filem ini memaparkan kisah hidup para mahasiswa Indonesia di negara Mesir yang terkenal dengan Sungai Nil dan Universiti Al-Azhar. Mengisahkan mengenai perjuangan dan pengorbanan seorang lelaki yang terpaksa tinggal belajar sambil bekerja di bumi Mesir kerana ingin menyara dan membantu keluarganya yang miskin di Indonesia. Watak Khairul Azzam sangat berkualiti bagi dicontohi setiap muslim. Keupayaannya menolak godaan seorang gadis yang kaya dan cantik demi menjaga prinsip agama merupakan contoh teladan yang sangat baik diikuti. Aku dapat merasakan keharmonian hidup jika menjaga nilai murni agama dan kesopanan dalam kehidupan seharian. Filem ini bagi aku adalah lebih baik daripada filem 'ayat-ayat cinta' dari segi bahasa dan sinematografi yang dipaparkan. Terdapat juga pengajaran melalui watak Furqan iaitu jangan suka berlebih-lebihan dan membazir dengan kekayaan yang dimiliki sehingga mendatangkan murka dan teguran dari Allah swt. Namun, aku mula tertarik dengan watak Anna Althafunnisa. Sungguh, wajah dan penampilan Anna membuatkan aku terkenang seseorang yang pernah hadir dalam hidupku..

1 comments:

♥ Nasiha Sakinah ♥ said...

salam.
huhu..crita laskar pelangi mmg besh..
bru tgk mlm td..
mmg byk nilai2 yg bole dijdkan pngajaran..:)
besh sgt..:)